Tuesday, March 22, 2022

Takziah Kepada Mangsa Nahas Pesawat; Syukuri Nikmat Berkenderaan

Takziah Kepada Mangsa Nahas Pesawat; Syukuri Nikmat Berkenderaan

1. Pada 21 Mac 2022, pesawat China Eastern Airlines, MU5735 membawa 132 orang telah terhempas di kawasan perbukitan di  Guangxi, China. Tragedi nahas kapal terbang ini tentu sahaja menyedihkan ribuan ahli keluarga yang terlibat. Kita mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga terbabit. Rakyat Malaysia telah merasai keadaan seumpamanya sebanyak 2 kali pada tahun 2014. 

2. Pada 8 Mac 2014, nasib 227 penumpang dan 12 anak kapal pesawat MAS, Boeing 777-200ER, MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing tidak diketahui sehingga kini akibat hilang tanpa jejak daripada radar ketika melintasi Laut China Selatan. 

3. Pada 17 Julai 2014 pula penerbangan Malaysia Airlines Boeing-777, MH17 dari Amsterdam ke Malaysia telah ditembak jatuh di wilayah Donetsk di timur Ukraine menyebabkan kesemua 298 orang di atas kapal dari 10 buah negara terbunuh termasuk 80 orang kanak-kanak.

4. Kita berdoa agar jutaan umat manusia yang sentiasa terbang seluruh dunia untuk pelbagai urusan kehidupan diselamatkan oleh Allah daripada nahas seumpamanya.

Kita juga mengucapkan terima kasih kepada semua insan yang terlibat dalam industri pengangkutan yang sentiasa komited memastikan setiap kenderaan dalam keadaan selamat untuk bergerak membawa penumpang. Apatah lagi industri penerbangan yang tentu merisikokan nyawa jutaan penumpang ketika berada di udara. 

5. Sesungguhnya apa yang berlaku mengajak kita merenung nikmat pemberian Allah Taala melibatkan kemudahan perjalanan di udara. Sesungguhnya Allah Taala yang memberi kemudahan kepada manusia untuk bergerak di angkasa. Allah Taala berfirman dalam Surah al-Mulk: 19

أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ فَوْقَهُمْ صَافَّاتٍ وَيَقْبِضْنَ ۚ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا الرَّحْمَٰنُ ۚ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ بَصِيرٌ
"Tidakkah mereka melihat kepada burung di atas mereka sedang mengembangkan kepak dan menutupnya (kerana terbang), tiadalah yang menahannya (jatuh) melainkan Tuhan yang bersifat Rahman. Sesungguhnya Dia dengan segala sesuatu Maha melihat"

6. Kata Syeikh al-Sa'di  (1889-1956) ketika mentafsirkan ayat ini dalam (  تيسير الكريم الرحمن في تفسير كلام المنان  ) 
فإنه الذي سخر لهن الجو، وجعل أجسادهن وخلقتهن في حالة مستعدة للطيران، فمن نظر في حالة الطير واعتبر فيها، دلته على قدرة الباري، وعنايته الربانية، وأنه الواحد الأحد، الذي لا تنبغي العبادة إلا له
"Maka Dialah yang memudahkan untuk burung-burung itu terbang di udara. Dia menjadikan jasad dan kejadian mereka dalam keadaan bersedia untuk terbang. Maka sesiapa yang melihat pada keadaan terbang itu dan mengambil pengajaran, ia menunjukkan kepadanya tentang kekuasaan Maha Pencipta dan inayah pemeliharaan Rabbani dan bahawasanya Dialah yang Satu lagi Esa yang tidak layak diberikan ketaatan perhambaan melainkan kepada-Nya"

7. Justeru, menjadi kewajipan hamba untuk bersyukur sentiasa kepada-Nya di saat kemudahan tersebut dinikmati dengan mengucapkan zikir dan menitipkan doa sebagaimana sunnah Nabi saw ketika berkenderaan. 

Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Nabi saw apabila telah berada di atas untanya untuk bergerak bermusafir akan bertakbir membesarkan Allah 3 kali dan mengucapkan

سبحان الذي سخَّر لنا هذا وما كُنَّا له مُقْرِنِينَ وإنَّا إلى ربِّنا لـمُنْقَلِبُون
"Maha suci Allah yang memudahkan untuk kami urusan ini dan tidaklah kami untuk urusan ini berkuasa dan sesungguhnya kami kepada Tuhan kami pasti kami kembali"
(Hadis Muslim) 

8. Menurut Imam Nawawi (631-676 H/1233-1277 M) dalam Syarah Muslim, makna "Muqrinin" (  مقرنين ) dalam Hadis ini ialah  tidaklah kami berkuasa menundukkannya dan menggunakannya kalaulah tidak kerana Allah yang memudahkannya.

9. Sesungguhnya kemudahan perjalanan yang dikurniakan oleh Allah mengajak manusia untuk bersyukur kepada-Nya dan menghargai pemberian-Nya. Demikianlah Allah berfirman ketika menjelaskan nikmat kapal yang belayar dan binatang ternakan yang ditunggang

لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ وَتَقُولُوا سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ (13)
"agar kamu dapat duduk menetap di atas belakang-belakangnya kemudian kamu mengingati nikmat Allah apabila kamu duduk menetap di atasnya dan kamu mengungkapkan;
Maha suci Allah yang memudahkan untuk kami urusan ini dan tidaklah kami untuk urusan ini berkuasa dan sesungguhnya kami kepada Tuhan kami pasti kami kembali"
(Surah al-Zukhruf: 13.

10. Ya Allah. Jadikanlah kami, rakyat Malaysia khususnya dikalangan hamba-Mu yang sentiasa bersyukur atas segala nikmat pemberian-Mu.

Sekian

Dr Khairuddin Takiri
Rabu 23.3.2022
Dubai, Emiriah Arab Bersatu

https://www.astroawani.com/video-malaysia/infografik-kronologi-nahas-pesawat-china-eastern-airlines-mu-5735-1956363

Doa Baik dan Doa Keburukan; Doa Senjata Mukmin

Doa Baik dan Doa Keburukan; Doa Senjata Mukmin

Oleh :
*Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

1. Mendoakan kebaikan dan mendoakan keburukan kedua-duanya adalah sunnah berdoa, ada petunjuknya dalam hidup Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. 

2. Berdoa agar musuh mendapat hidayah adalah dituntut seperti mana doa Nabi s.a.w. agar orang-orang Thaqif mendapat hidayah tatkala mereka menyakiti Nabi s.a.w.. 

3. Berdoa agar musuh yang jahat dan golongan yang zalim mendapat pembalasan Tuhan juga dibolehkan malah dituntut apabila kezaliman itu melibatkan kepentingan Islam dan umatnya. 

    Doa keburukan terhadap musuh yang jahat dan golongan yang zalim akan menggerunkan musuh dan menakutkan golongan yang zalim. 

    Asasnya adalah kerana doa adalah senjata mukmin. Nabi s.a.w. bersabda :

الدُّعَاءُ سِلاحُ الْمُؤْمِنِ، وَعِمَادُ الدِّينِ، وَنُورُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ 

    "Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit-langit dan bumi"  (Hadis Riwayat Hakim) 

4. Dalam Hadis Sahih Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. berdoa ke atas Quraisy yang mengganggu dan menyakiti baginda ketika solat di Masjid Haram dengan _*"Ya Allah binasakanlah Quraisy"*_ sebanyak tiga kali. *Orang-orang Quraisy yang sedang ketawa gembira melihat Nabi s.a.w. diperlakukan demikian segera terdiam kerana takut dengan doa Nabi s.a.w..*

    Kemudian Nabi s.a.w. menyambung lagi doa baginda khusus ke atas tujuh orang pemuka Quraisy yang menganggu baginda agar dibinasakan oleh Allah. *Kata sahabat Nabi s.a.w., Ibnu Mas'ud _radiyallahu anhu_, aku melihat mereka antara yang mati terbunuh di medan Badar.*

5. Nabi s.a.w. juga mendoakan kehancuran tentera bersekutu pakatan Ahzab dalam peperangan Ahzab dan mendoakan kehancuran kerajaan Kisra Parsi. 

6. Dalam Hadis Muslim, seorang sahabat Nabi s.a.w. yang terkenal bernama Sa'id bin Zaid _radiyallahu anhu_ yang juga merupakan salah seorang daripada sepuluh sahabat yang dijamin syurga, *mendoakan keburukan terhadap Arwa binti Uwais yang membuat tuduhan palsu terhadap beliau kononnya merampas sebahagian tanahnya.* Beliau lalu berdoa, _*"Ya Allah sekiranya dia berbohong maka butakanlah matanya dan bunuh dirinya di tanahnya sendiri"*_. Doa beliau dimakbulkan Allah lalu Arwa menjadi buta kemudiannya dan terbunuh di tanahnya sendiri akibat terjatuh ke dalam lubang.

7. Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani dan al-Aini dalam Syarah Sahih Bukhari, *Nabi s.a.w. mendoakan kebaikan untuk musuh yang kufur apabila merasa aman daripada pengkhianatan mereka dan mengharapkan hidayah untuk mereka*. Nabi pula *mendoakan kehancuran musuh apabila mereka semakin kuat, gangguan dan ancaman mereka juga semakin kuat dan umat Islam tidak selamat daripada kejahatan mereka.*

8. *Bagi golongan yang dizalimi, senjata mereka berhadapan dengan orang zalim ialah doa.* 

    Nabi s.a.w. bersabda dalam Hadis Bukhari dan Muslim :

 اتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

    _"Takutlah kamu terhadap doa orang yang dizalimi kerana sesungguhnya tiada antara doa itu dengan Allah sebarang dinding"._

    Dalam satu riwayat Ahmad menyebut, _"meskipun doa daripada seorang yang kufur (yang dizalimi)"._

9. Antara *dalil boleh berdoa keburukan terhadap orang yang zalim* ialah firman Allah dalam al- Nisa ayat 148 :

لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَنْ ظُلِمَ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا

    _"Allah tidak suka berterangan menyebut kejahatan melainkan daripada orang yang dizalimi..."._

    Menurut Ibnu Kathir, berkata Ibnu Abbas, maksud ayat ialah Allah tidak suka seseorang mendoakan keburukan atas seseorang melainkan dia dizalimi kerana Allah memberi kelonggaran untuk mendoakan keburukan ke atas orang yang menzaliminya. 

    Berkata al-Sa'di, harus bagi orang yang dizalimi mendoakan keburukan terhadap orang yang menzaliminya dan mengadu perihalnya dan menyebut secara terang-terangan kejahatannya tanpa menambah pembohongan atau berlebih-lebihan mengatasi kadar kezaliman ke atas dirinya.

10. *Hanya golongan yang zalim takut kepada doa orang yang soleh dan doa orang yang dizalimi*. Bagi mereka yang baik, tidak melakukan kezaliman kepada manusia, mereka tidak bimbang terhadap doa keburukan oleh orang lain kerana yang menerima dan memakbulkan doa HANYALAH Allah. 

Sekian.

Rabu, 22hb Mac 2018

Monday, March 21, 2022

Mutiara Hadis; Membuang Gangguan Dijalanan

Mutiara HADIS

Nabi saw bersabda

الإِيمانُ بضْعٌ وسَبْعُونَ، أوْ بضْعٌ وسِتُّونَ، شُعْبَةً، فأفْضَلُها قَوْلُ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، وأَدْناها إماطَةُ الأذَى عَنِ الطَّرِيقِ

"Iman itu 70 lebih atau 60 lebih cabang. Terbaiknya ialah ucapan Lailahaillallah (Tiada Tuhan Yang Diberikan Pengabdian Diri melainkan Allah). Paling rendahnya ialah membuang gangguan di jalanan"
(Hadis Muslim) 

Pengajaran Hadis

Hadis ini mengajar manusia untuk melakukan sekecil-kecil kebaikan iaitu membuang sesuatu yang menyakitkan dan mengganggu manusia lain dijalanan. Tujuannya agar manusia dapat menikmati kesejahteraan hidup dan antara penyumbang kepada kesejahteraan itu ialah si lelaki yang membuang perkara yang menyakitkan tadi.

Lakukanlah kebajikan kepada manusia meskipun sedikit. Jadilah lebah yang memberi kebaikan menerusi madunya bukannya lalat yang selalunya hinggap di atas kotoran dan najis.

Dr Khairuddin Takiri
Selasa 22.3.2022

#negarasejahtera
#masyarakatsejahtera
#kualanerus

Kesejahteraan Hati

Kesejahteraan Hati

Allah Taala berfirman
وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ (87)
يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (88)
إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (89)

"Dan janganlah kamu hinakan daku pada hari manusia dibangkitkan. Hari dimana tidak memberi manfaat lagi sebarang harta dan anak pinak melainkan orang yang mendatangi Allah dengan HATI Sejahtera"
(Surah al-Syu'arak : 87-89).

Hati Sejahtera menurut Imam Qutabi (213 - 276 H) merujuk kepada hati yang selamat dan bersangka baik kepada manusia. Menurut Imam Qurtubi (meninggal 671 H) pula ia bermaksud hati yang bersih daripada pelbagai sifat yang dikeji dan bersifat pula dengan segala sifat yang elok. Kata Imam Ibnu Kathir (701-774 H) pula ia bermaksud Sejahtera daripada syirik dan kekotoran. 

Dr Khairuddin Takiri
Isnin 21.3.2022

Saturday, March 19, 2022

Memahami Tanggungjawab Berpolitik

Memahami Tanggungjawab Berpolitik

1. Berpolitik boleh difahami dengan dua cara. Pertama terlibat dengan parti politik sama ada menjadi pendokong dan ahli politik kerajaan atau pendokong dan ahli politik pembangkang dalam sebuah negara demokrasi moden. Kedua mengambil tahu dan berbicara tentang politik termasuklah penglibatan sebagai pengundi. Perkara kedua memerlukan penglibatan semua orang sama ada atas nama memilih pemimpin politik untuk berkuasa atau memberi pandangan, nasihat dan kritikan untuk semak dan imbang.

2. Dalam kedua-dua keadaan di atas, berpolitik hendaklah dengan matlamat untuk menegakkan agama Allah dan mentadbir negara dengan agama Allah agar kebajikan dan keadilan tersebar kepada seluruh rakyat jelata. Hal ini dipetik daripada konsep Khalifah dalam Islam sebagaimana di bincang oleh para Sarjana Politik Islam iaitu
الخلافة أو الإمامة هي خلافة عن النبوة في إقامة الدين وسياسة الدنيا به
"Khilafah atau Imamah pemerintahan ialah menggantikan kenabian dalam menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama"

3. Menerusi politik, kuasa dicapai menerusi pembentukan parti politik yang memasuki pilihanraya dan menawarkan kuasa untuk melaksanakan Islam dan melebarkan luaskan kebajikan kepada rakyat menerusi pilihanraya dalam konteks negara demokrasi semasa.

Dalam sejarah Malaysia ditubuhkan PKMM 1945, UMNO pada 1946, Hizbul Muslimin pada 1948, PAS pada 1951, Parti Negara 1954, DAP 1965, Berjasa pada 1978, Semangat 46 pada 1988, Parti Hizbul Muslimin (Hamim) 1983, PKR 2003, PAN 2015, Warisan 2016, Bersatu 2017, Pejuang dan Muda 2020.

4. Berkempen untuk menawarkan kuasa kepada Islam diambil daripada sunnah Nabi saw antaranya apa yang dibuat oleh baginda saw ketika di Mina selepas tahun ke 10 kenabian.

مَن يُؤوِيني، مَن يَنصُرُني حتى أُبلِّغَ رسالاتِ ربِّي عزَّ وجلَّ وله الجنَّةُ؟
"siapa yang boleh melindungi ku, siapa yang boleh membantuku sehingga aku sampaikan risalah-risalah Tuhanku dan baginya syurga"
(Hadis Hasan dalam Dalail al-Nubuwwah)

5. Perjuangan membawa risalah Islam tidak boleh dibawa bersendirian tetapi memerlukan pembantu dan penyokong yang dipanggil "Hawariyyun" membentuk wadah dan platform perjuangan di jalan Allah. Allah bercerita tentang Nabi Isa alaihissalam
فَلَمَّا أَحَسَّ عِيسَىٰ مِنْهُمُ الْكُفْرَ قَالَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ ۖ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ آمَنَّا بِاللَّهِ وَاشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ (52)
"Tatkala Isa menyedari daripada kaumnya keengkaran tersebut, Dia berkata, siapakah pembantu-pembantuku kepada Allah. Berkata Hawariyyun (penyokong-penyokong); kamilah pembantu-pembantu Allah. Kami beriman dengan Allah dan berilah kesaksian bahawa kami adalah Muslim yang menyerah diri"
(Surah Ali Imran: 52) 

6. Mana-mana pihak yang telah berkuasa mempunyai kewajipan melaksanakan Islam dalam semua urusan pentadbiran di semua kementerian dan jabatan. Urus tadbir berasaskan perintah dan larangan Allah perlu dipatuhi. Sangat besar ganjaran pahala bagi para pemerintah dan pentadbir yang melaksanakan Islam dan mentadbir menurut prinsip Islam. Takutlah pada ancaman Tuhan terhadap mereka yang mentadbir menurut hawa nafsu lalu menyebabkan kezaliman berkembang dan keadilan kepada rakyat dinafikan.

7. Ganjaran menjadi pemerintah yang adil disebut dalam Hadis sebagai antara 7 golongan yang mendapat naungan Allah pada hari tiada naungan lain melainkan Naungan Allah. (Hadis Sahih Bukhari Muslim).

Pemerintah yang zalim di peringatkan dengan Hadis Nabi saw
الظُّلْمُ ظُلُمَاتٌ يَومَ القِيَامَةِ
"Kezaliman itu adalah kegelapan-kegelapan pada hari Qiamat"
(Hadis Bukhari).

8. Maka setiap muslim tetap mempunyai tanggungjawab  untuk berpolitik sama ada berpolitik dengan menjadi pemerintah dan pendokong pemerintah untuk terus melaksanakan keadilan atau berpolitik dengan menjadi rakyat yang menasihati kerajaan atau pembangkang yang melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang kepada kerajaan.

Sekian. 

Dr Khairuddin Takiri
Ahad 20.3.2022